Sinar Harian, 11 April 2015
Marina Sahabudin

Oh La La: Filem animasi muzikal pertama Malaysia

JIKA sebelum ini, nama Datuk Abdul Rahman Sallehudin, lebih sinonim dalam dunia penerbitan siri televisyen, namun untuk tahun ini, beliau tampil mempertaruhkan karya dalam industri perfileman tempatan.

Menerusi syarikat penerbitan, Infinite Motion Sdn Bhd, penerbit dan pengarah ini bakal mempersembahkan sebuah filem animasi muzikal pertama Malaysia, Oh La La. Bakal ditayangkan di pawagam mulai 28 Mei 2015, filem animasi ini mengisahkan dua pemuzik jalanan yang ingin berjaya dalam kehidupan dan seorang guru vokal yang bercita-cita menjadi penyanyi terkenal, tetapi dugaan dan cabaran menjadi halangan.

Namun, demi muzik, persahabatan dan impian mereka bersatu dan bersama mengejar keajaiban untuk menjadi juara. Bertanya mengenai idea asal untuk menghasilkan filem animasi yang menarik ini, Abdul Rahman memberitahu bahawa perjalanan Dompok, Ana dan Rok telah bermain di fikirannya sejak enam tahun lalu.

“Saya banyak menonton filem-filem animasi dari luar negara, antaranya Show White, Toy Story dan Brave. Walaupun diterbitkan dalam bentuk animasi, namun ia sangat menarik.

“Saya turut merantau untuk menonton filem animasi dunia dan dari situ saya mula membuat perbandingan. Mengapa kita tidak boleh menghasilkan sesuatu yang hebat seperti itu?

“Setelah membuat kajian, saya mendapati rakyat Malaysia menyukai muzik dan sukan. Jadi, saya memilih muzik untuk diterjemahkan menerusi, Oh La La,” katanya.

Memilih tajuk Oh La La, Abdul Rahman memberitahu, ianya merujuk kepada nama kota yang dibina menerusi filem ini.

“Oh La La, mungkin lebih dekat dengan gambaran sesuatu perkara yang hebat dan ‘wow. Namun, menerusi filem animasi ini, kami namakan kota yang mereka diami itu sebagai Oh La La,” katanya yang memiliki 30 tahun pengalaman dalam industri animasi.

Peluang untuk bekas graduasi

Menariknya, filem animasi muzikal ini menggunakan sepenuh tenaga kerja daripada anak-anak muda tempatan, yang terdiri daripada bekas-bekas pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

Menurut Abdul Rahman, menyedari anak-anak muda yang berkelulusan dalam bidang ini tidak mempunyai peluang yang luas dalam kerjaya, beliau mewujudkan Infinite Motion Sdn. Bhd sebagai sebuah studio animasi yang menggunakan 100 peratus kepakaran tenaga seni kreatif anak-anak muda tempatan.

“Untuk pelakon suara, saya mengadakan uji bakat peringkat demi peringkat untuk proses pemilihan. Dalam uji bakat berkenaan, saya dapati ramai dalam kalangan anak muda yang berbakat namun, kurang diberikan peluang.

“Kami memilih anak muda yang betul-betul berbakat dan mempunyai kebolehan untuk menyanyi serta berlakon. Malah, ada di kalangan pekerja tetap kami yang mempunyai latar belakang dalam bidang lakonan, nyanyian dan muzik yang menyertai pembikinan filem ini.

“Untuk proses lakon suara, kami mengambil masa selama enam bulan dan keseluruhan masa yang diambil untuk menyiapkan filem ini dari segi skrip, idea dan suntingan adalah dua tahun,” katanya lagi.

Menelan kos produksi RM4 juta, filem animasi yang mendapat kerjasama daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ini  turut mendapat bantuan dana kerajaan menerusi geran daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Kami mendapat dana kerajaan sebanyak RM2 juta dan selebihnya adalah dana sendiri. Sejujurnya, kos penghasilan filem animasi adalah melebihi filem biasa.

“Namun, jika dinilai dari segi kos produksi untuk menghasilkan filem animasi, ia memerlukan kos yang lebih besar. Sebagai contoh penghasilan filem animasi luar negara, mereka membelanjakan sehingga RM400 juta (USD).

“Namun, kita agak terikat dengan kos produksi namun itu bukanlah halangan untuk menghasilkan filem yang kurang berkualiti. Kita akan tetap memastikan ianya setanding dengan filem luar,” jelasnya.

image-1

image-2

image-3

Cabaran dunia animasi

Ditanya mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh produksi tempatan sepertinya dalam menghasilkan filem animasi, beliau memberitahu beberapa kekangan yang melibatkan kos dan tenaga kerja.

Katanya, selain kekangan bajet, produksi tempatan perlu berdepan dengan kekurangan tenaga kerja mahir dan berpengalaman dalam bidang animasi.

“Saya nampak, industri perfileman tempatan sangat ‘miskin’ dengan karya animasi. Sebagai pemain industri, saya terpanggil untuk menyemarakkan pembikinan filem ini, namun perlu berdepan dengan beberapa perkara.

“Saya akui, kita kekurangan tenaga kerja dan sekiranya kita ingin mengambil ‘orang luar’ untuk membantu, berapa banyak yang perlu kita bayar? Lagipun, ia tidak memberi kebanggaan kepada kita sendiri sebagai produk tempatan.

“Begitu juga dengan penggunaan perisian software 3D. Untuk mendapatkan software berkenaan, kita perlu membelanjakan RM1.5 juta, ia adalah satu nilai yang besar.

“Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkannya dan saya bersyukur kerana kami mampu membawa satu mercu tanda kebanggaan kepada negara dengan penghasilan filem animasi muzikal pertama ini,” katanya lagi.

Tambah Abdul Rahman, kekangan masa amat mencemburui mereka kerana proses pembikinan ini lebih rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

“Walaupun nampak mudah, tapi ia amat mencabar. Dalam filem ini, saya juga mencipta 14 buah lagu dan tiga daripadanya adalah dalam bentuk keroncong termasuk lagu, Keroncong Kuala Lumpur, yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee, namun dirakam semula dalam filem ini.

“Lagu-lagu yang saya cipta dalam filem ini adalah Harmoni, Oh La La,  Di Malam Ini, Aku Tak Tahu,  Matahari, Mengapa Tak Bagitahu, Kita, Oh Kasih, Crazy About You, Inilah Kehidupan, Blues Dari Kami, Misteri, Girlfriend Baru, Yang Maha Pengasih Dan Penyayang, Tampal Poster, Keroncong Bengawan Solo dan Keroncong Kemayoran.

“Filem ini bukanlah filem animasi untuk hiburan semata-mata, namun saya  menyelitkan identiti, budaya dan warisan Melayu Nusantara,” katanya.

Jelajah pertama di Perancis

Walaupun filem ini menerapkan elemen-elemen patriotik, namun ia bukan hanya untuk pasaran tempatan sahaja kerana filem animasi ini akan turut menjelajah ke luar negara.

Bermula dengan promosi di Cannes pada tahun lalu, filem ini bakal diterbangkan ke persada dunia melalui promosi di Pasaran TV dan Filem di MIPCOM, Cannes, Perancis pada Oktober 2015 nanti.

“Insya-ALLAH, selepas ini Oh La La akan diperluaskan ke beberapa negara luar termasuk Spain, Istanbul dan Australia. Sebagai persediaan, kami telah menyediakan terjemahan suara dalam Bahasa Inggeris untuk pasaran dunia.

“Sekiranya pasaran itu diperluaskan, kami akan menyediakan proses alih suara kerana ada beberapa negara yang tidak begitu ‘dekat’ dengan Bahasa Inggeris,” katanya yang memberitahu filem ini lulus tanpa pindaan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Seperti penerbit dan produksi lain, Abdul Rahman juga mengharapkan sambutan yang baik dalam kalangan penonton tempatan.

“Saya berharap, percaturan pertama saya dalam bidang perfileman ini diterima ramai. Sokongan daripada masyarakat kita adalah amat diharapkan.

“Begitu juga untuk bidang filem animasi. Walaupun tidak diperluaskan di negara kita, saya harap, suatu hari nanti, ada kelompok penggerak di masa akan datang,” katanya yang akan turut menyediakan proses The Making Of Oh La La, untuk tayangan di stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara percuma.