hi_05.1
Setiap insan yang bergelar manusia pasti mempunyai impian, cita-cita dan harapan untuk berjaya dalam setiap usaha yang dilakukan.

Begitu juga dengan impian tiga sahabat karib iaitu Dompok, Ana dan Rok. Mereka juga mahu menzahirkan bakat dan rasa cinta dalam dunia muzik bagi memenuhi cita-cita dan impian. Biarpun terpaksa menempuh liku-liku kehidupan sebelum bergelar penyanyi, Dompok, Ana dan Rok tidak pernah patah semangat.

hi_05.2

Kisah tiga sahabat karib itu diketengahkan menerusi filem animasi muzikal terbaharu terbitan Infinite Motion Sdn. Bhd. yang berjudul Oh! La La.

Memperoleh idea untuk menghasilkan filem animasi muzikal itu sejak enam tahun lalu, pengarah dan penerbitnya, Dato’ Abdul Rahman Sallehudin mengakui, beliau lebih banyak menonton filem-filem animasi luar negara seperti Toy Story dan Brave. Itu tidak bermakna beliau mencedok idea atau isi filem animasi luar negara tersebut. Sebaliknya, Dato’ Abdul Rahman berasakan yang orang Malaysia juga mampu menghasilkan sesuatu yang hebat seperti itu.

“Melalui pemerhatian, saya dapati rakyat Malaysia menyukai muzik dan sukan. Jadi, saya memilih muzik untuk diterjemahkan menerusi animasi Oh! la La. ”

“Dalam filem animasi muzikal ini, Oh! la La merujuk kepada nama kota,” jelasnya yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam industri animasi.

hi_05.3

Lebih membanggakan, ujar Dato’ Abdul rahman, Oh! La La juga menggunakan 100 peratus kepakaran tenga seni kreatif anak-anak muda Melayu yang berbakat dalam bidang animasi, lakonan, nyanyian dan muzik. Mereka terdiri daripada bekas-bekas pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam memberikan identiti, budaya dan warisan Melayu Nusantara, beliau juga telah mengadaptasi tiga buah lagu keroncong iaitu Keroncong Kuala Lumpur ciptaan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Keroncong Bengawan Solo dan Keroncong Kemayoran yang kesemuanya telah dirakam semula oleh pelajar-pelajar Aswara.

“Selain daripada tiga lagu itu, 14 buah lagu juga dicipta dan digubah khas bagi memberikan satu rasa yang segar dalam filem ini,” kata Dato’ Abdul Rahman yang bersyukur filem tersebut bakal dipasarkan di MIPCOM, Cannes, Perancis pada Oktober depan.

Lebih daripada itu, filem animasi muzikal Oh! La La juga akan diperluaskan ke beberapa negara lain termasuk Sepanyol, Turki dan Australia.

“Sebagai persediaan, kami telah menyediakan terjemahan suara dalam Bahasa Inggeris untuk pasaran luar negara.”

“Sekiranya pasaran itu diperluaskan, kami akan menyediakan proses alih suara kerana ada beberapa negara yang tidak begitu ‘dekat’ dengan Bahasa Inggeris,” katanya yang memberitahu filem itu lulus tanpa pindaan daripada Lembaga Penapisan Filem.

Dihasilkan dengan kos sebanyak RM4 juta dan melalui proses penghasilan selama tiga tahun di studio Infinite Motion Sdn. Bhd, Oh! La La telah menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia sejak 28 Mei lalu.

Sumber dari Kosmo Online!